Kes Kematian Nahas Jalan Raya Boleh Jejaskan Populasi

30 Nov 2015
PUSA: Jumlah kes kematian akibat kemalangan jalan raya yang dilaporkan meningkat hampir setiap tahun dikhuatiri boleh menjejaskan populasi penduduk negara jika tiada usaha segera dilaksanakan bagi menangani perkara itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata keadaan itu juga boleh mewujudkan implikasi negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara, terutama dalam konteks pembangunan sumber manusia.

"Malaysia mencatatkan 476,196 kes nahas jalan raya sepanjang tahun ini, dengan keseluruhannya membabitkan 6,674 kematian. Jika diikutkan kajian pakar, termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), secara purata setiap nyawa melayang ini bernilai RM1 juta berdasar nilai sumbangan sumber manusianya.

"Ini jelas memperlihatkan kerugian besar kepada negara, terutama dalam konteks sumber manusia yang boleh menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara. Dari sudut jumlah penduduk, sudah pasti populasi kita semakin berkurangan jika angka kematian disebabkan nahas jalan raya terus mencatatkan peningkatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) 2015 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin, di sini petang tadi.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, Datuk Che Ab Rahim Che Daud; Pengarah JPJ Sarawak, Ibrahim Othman dan Pegawai Daerah Pusa, Bujang Budin.

"Kita sedih melihat banyak nyawa melayang, terutama membabitkan generasi muda yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara dan usaha meningkatkan jumlah populasi penduduk kita.

"Sayu melihat ibu bapa kehilangan anak-anak mereka dalam kemalangan, isteri kehilangan suami dan anak-anak kehilangan ibu serta ayah. Ada juga keluarga mengalami trauma berpanjangan.... hilang tempat bergantung selepas kehilangan insan tersayang disebabkan nahas jalan raya," katanya.

Bagaimanapun, beliau yakin keadaan itu boleh berubah melalui pelbagai pendekatan bersepadu dilaksanakan kerajaan melalui jabatan dan agensi bertanggungjawab, namun usaha berkenaan perlu mendapat kerjasama dan sokongan masyarakat.

"Hasil kajian dijalankan mendapati sebahagian besar kes kemalangan berpunca dari kecuaian dan sikap orang ramai sendiri ketika berada di jalan raya. Justeru, kita perlu berubah sikap dan mempunyai kesedaran untuk menghargai nyawa sendiri.

"Bagi kementerian, kita sentiasa bersedia bekerjasama menganjurkan pelbagai program pendidikan dan kempen kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya, malah sedang meneliti inisiatif lain yang boleh dilaksanakan tahun depan untuk tujuan itu," katanya.

Rohani turut menyambut baik inisiatif penganjuran Satu Komuniti Satu JPJ yang lebih berkonsepkan program 'turun padang' untuk mendekati masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.

"Melalui program seumpama itu, masyarakat pedalaman dan luar bandar boleh diberikan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya, selain membantu mereka mendapatkan lesen memandu.

"Di Sarawak sendiri, ada kawasan yang terletak jauh dari pejabat cawangan JPJ berhampiran hingga menyukarkan penduduk mendapatkan lesen memandu hingga ada yang bertahun menunggang motosikal atau memandu kereta tanpa lesen," katanya.

Sumber Artikel: Berita Harian

No comments:

Post a Comment