5 Cara Untuk Anda Mula Berjimat

22 Apr 2015

Kos kehidupan yang semakin tinggi amat dirasai, lebih-lebih lagi buat mereka yang baharu memulakan alam pekerjaan. Di mana, golongan ini masih berusaha membiasakan diri dengan alam pekerjaan.

Apabila sudah teruja memiliki duit gaji sendiri. Pasti keinginan untuk berbelanja akan menjadi lebih tidak terkawal sehinggakan duit akan dibelanjakan untuk barang yang tidak perlu. 

Seharusnya anda perlu bijak dalam mengawal perbelanjaan setiap bulan dalam misi untuk berjimat dan memulakan simpanan tetap setiap bulan. Berikut beberapa langkah yang boleh diikuti:

1. Senaraikan Semuanya

Perkara paling utama adalah dengan menyenaraikan setiap apa yang ingin dibayar dan dibeli. Hal ini bagi mengelakkan anda berbelanja ke arah sesuatu yang bukan menjadi keperluan. Menyediakan senarai perbelanjaan akan membantu anda untuk berjimat dan tidak berbelanja melebihi bajet yang telah ditetapkan.

2. Masak Sendiri

Kurangkan makan di luar dalam usaha untuk anda menjimatkan perbelanjaan. Kalau ingin berjimat anda perlu berusaha dan lebih rajin untuk memasak di rumah. Jika kos nasi campur RM6 untuk seorang dan sekali makan. Bayangkan jika anda makan sebanyak tiga kali sehari dengan kos yang sama. Totalnya akan menjadi RM18. 

Selain boleh berjimat, dengan memasak di rumah membolehkan anda makan berulang kali sehari. Sekiranya lauk tidak habis anda boleh masukkan ke dalam peti sejuk dan panaskan semula esok hari untuk dibawa bekal ke tempat kerja.

3. Kawal Diri

Hanya anda yang mengenali diri anda dan bagaimana cara untuk anda mengawal diri sendiri dalam berbelanja. Jika anda merasakan diri seorang yang boros. Elak menggunakan kad kredit dan hadkan jumlah wang di dalam akaun bank. 

Seeloknya baki di bank cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan hingga hujung bulan. Baki selebihnya pula anda boleh masuk ke dalam akaun yang tidak mempunyai ATM kad bagi mengelakkan pengeluaran.

4. Tetapkan Simpanan

Kebanyakan daripada kita begitu mudah menetapkan jumlah wang untuk disimpan namun tidak ramai yang mampu mengekalkan tabiat menyimpan mengikut jumlah yang telah ditetapkan. 

Mulakan menyimpan dengan jumlah yang kecil sebagai contoh RM50 setiap bulan, namun perlu konsisten. Kemudian gandakan jumlah simpanan sehingga anda benar-benar berdisplin dalam membuat simpanan tetap.

5. Tetapkan Jangka Masa

Menetapkan jangka masa dalam melakukan sesuatu perkara amat penting demi memastikan anda mencapai matlamat sebenar. Ia juga penting supaya anda tidak tersasar daripada jangka masa yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, jika anda bercadang untuk pergi bercuti ke Jepun dan kos diperlukan sebanyak RM5,000.

Sudah tentu anda mula membuat perancangan kewangan serta menetapkan jangka masa untuk mula menyimpan. Contohnya, dalam masa setahun walau apapun anda perlu menyimpan duit sebanyak RM5,000. 

Demi merealisasikan impian anda untuk bercuti ke Jepun. Penetapan matlamat ini memudahkan usaha anda untuk mula menyimpan dan secara tidak langsung boleh membantu anda berjimat dan tidak membazir.

Sumber foto:


No comments:

Post a Comment