MUADZAM SHAH - Enam sekeluarga maut ketika dalam perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut Aidiladha selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 142.8 Jalan Kuantan-Segamat, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu membabitkan tiga buah kenderaan iaitu kereta Perodua Alza dinaiki keluarga berkenaan, bas ekspres dan kereta Perodua Myvi.

Katanya, enam sekeluarga yang dalam perjalanan dari Segamat, Johor ke Kuantan itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Kejadian berlaku apabila kereta Perodua Alza dinaiki tiga lelaki, dua perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Kereta itu kemudiannya merempuh bas ekspres dari arah bertentangan sebelum dilanggar kereta Perodua Myvi yang datang dari arah Segamat menghala ke Kuantan.

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan. - Foto ihsan IPD Rompin


Sumber artikel: