Satu Maut 7 Cedera Van Terbabas

30 Sept 2014
Tapah: Perjalanan sembilan sekeluarga untuk pulang ke rumah mereka di Seberang Jaya Prai, Pulau Pinang selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Klang, Selangor bertukar tragedi apabila seorang daripadanya maut manakala tujuh yang lain cedera apabila van yang dinaiki hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik sehingga merempuh penghadang jalan di Kilometer 329.8, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Utara, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.50 petang, mangsa, Ahdiyah Abdullah, 76, dari Seberang Jaya Prai, Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di beberapa anggota badan selepas tercampak keluar.
Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah van Toyota Hiace yang hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik sehingga merempuh penghadang jalan di tengah lebuh raya berkenaan.
“Keadaan ketika itu hujan lebat dan menuruni bukit menyebabkan kenderaan dinaiki mangsa sukar dikawal lalu terbabas dan terbalik.
“Akibat kemalangan, seorang daripada mangsa maut akibat tercampak keluar daripada kenderaan, manakala tujuh lagi cedera ringan serta seorang daripadanya tidak cedera,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa difahamkan berasal dari Pulau Pinang dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Tapah dengan mangsa yang maut dibedah siasat di hospital yang sama sebelum dituntut keluarganya tengah hari semalam untuk urusan pengebumian.
Menurutnya, pemandu van terbabit yang juga anak kepada mangsa maut, Mohd Zbree Uda Mohd Hassan, 47, cedera ringan bersama bersama empat anaknya, Nur Adida Mohd Zbree, 25, Nur Amirah Mohd Zbree, 21, Muhamad Amirul Hasaan Mohd Zbree, 16 dan Nur Athirah Mohd Zbree, 12.
Dua mangsa lain iaitu Ainul Khalid Uda Mohd Hassan, 41, dan Fazilah Abd Wahab, 47, cedera ringan manakala seorang lagi mangsa yang duduk di sebelah pemandu, Amran Md Idris, 48, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber artikel:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Satumaut7cederavanterbabas/Article/index_html

No comments:

Post a Comment