Mayat lelaki ditemui selepas dua hari maut

23 Sept 2014
PANCHANG BEDENA – Mayat seorang lelaki ditemui mati kira-kira dua hari berhampiran parit selepas dipercayai terbabas daripada motosikalnya di Kilometer 43 Jalan Teluk Intan-Klang berdekatan Panchang Bedena di sini, malam kelmarin.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Asisten Superintendan Polis, Azman Abdul Rahman berkata, mangsa, Mohd Samsi Roman, 62, dari Taman Bedena Jaya Sungai Besar dipercayai terbabas daripada motosikalnya kira-kira jam 10 malam.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar isterinya yang ditahan di wad Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

“Mangsa menunggang motosikal bersendirian dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas, namun tiada saksi yang melihat kejadian itu hingga menyebabkan mangsa gagal dikesan keluarganya,” katanya.

Azman berkata, lelaki yang bekerja di sebuah stesen minyak itu dijumpai orang awam dalam keadaan mayatnya lengkap berpakaian dan mengiring sebelah kanan sebelum memaklumkan kepada polis kira-kira jam 10 pagi kelmarin.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke HTAJ Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pihak hospital mengesahkan punca kematian adalah disebabkan hentakan pada paru-paru dan mengalami patah tulang rusuk,” katanya.

Menurutnya, siasatan kes kemalangan itu dikendalikan Inspektor Norizan Ramli di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mayat mangsa yang ditemui mati kira-kira dua hari berhampiran parit di Kilometer 43 Jalan Teluk Intan-Klang berdekatan Panchang Bedena di sini, malam kelmarin.


No comments:

Post a Comment